Pimpinan ulama-umarak

Oleh DR. ISMAIL IBRAHIM
ISTILAH kerjasama di antara umarak dan ulama tidak timbul semasa pemerintahan Rasulullah SAW dan Khulafa’ Al-Rasyidin, kerana pada masa itu pemerintah adalah para alim ulama. Pemerintah sepenuhnya memimpin mengikut sistem agama, kerana Rasulullah SAW adalah pembawa syariah Islam dan melaksanakan hukum-hakamnya, dan dalam masa sama, baginda juga yang mengatur dan melaksanakan pemerintahan serta urusan duniawi dan ukhrawi. Hal ini diwarisi oleh para sahabat baginda pada zaman Khulafa’ Al-Rasyidin, berpandukan ajaran al-Quran dan sunah Rasulullah.


Barulah sesudah zaman Khulafa’ Al-Rashyidin, iaitu selepas pemerintahan berpindah ke tangan daulah Umaiyah, Abbasiyyah dan lain-lain, juga ketika jawatan ketua pemerintahan negara telah menjadi warisan daripada ayah kepada anak, atau saudara-saudara, maka pemimpin tidak semestinya terdiri daripada para ulama dalam bidang agama, atau pemimpin yang menguasai sistem pemerintahan Islam. Ketika inilah pemerintah memerlukan para ulama untuk membantunya.
Dalam situasi ini telah timbul istilah pemimpin “formal” iaitu pemerintah yang terdiri daripada para ketua negara secara keturunan, lantikan atau pilihan rakyat.
Dalam situasi ini juga, lahirnya pemimpin “tidak formal” iaitu terdiri daripada para ulama dan ilmuwan agama yang tidak secara rasminya termasuk dalam pemerintahan negara. Golongan inilah yang terkenal dengan nama mufti, imam, ustaz, dan sebagainya.
Kepemimpinan Islam adalah gabungan pemimpin formal dan tidak formal, yang juga disebut sebagai gabungan antara umarak dan ulama. Untuk membangun negara yang baik, kerjasama ulama dan umarak amat penting. Kedua-duanya mempunyai peranan yang seharusnya dimainkan dengan baik, yang haruslah digabungkan dalam semua mekanisme pemerintahan untuk kesejahteraan rakyat dan negara umumnya.
Terdapat dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka manusia (masyarakat) seluruhnya akan menjadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka manusia (masyarakat) seluruhnya juga akan menjadi rosak, mereka itu ialah umarak dan ulama (Hadis riwayat Ibn Abdul Barr)
KEPEMIMPINAN DALAM ISLAM
Kepemimpinan dari perspektif Islam adalah amanah Allah SWT, juga kontrak sosial dan psikologi di antara pemimpin dan pengikut. Pemimpin berkewajipan memandu pengikutnya, melindungi, dan menguruskan mereka dengan adil saksama menurut lunas-lunas yang diredai Allah SWT. Antara ciri kepemimpinan tersebut ialah :
1. Pemimpin haruslah mendidik dirinya terlebih dahulu, sebelum mendidik para pengikutnya, mempraktikkan segala sesuatu yang didakwahkannya kepada pengikutnya, meningkatkan moral dan akhlaknya terlebih dahulu sebelum memperbetulkan orang lain.
“Rakyat menjadi rosak akibat rosaknya pemerintah, dan pemerintah menjadi rosak akibat kehadiran ulama yang buruk (al-suu’) (Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin).
2. Sumber memetik satu hadis tentang komponen kekuatan sebuah negara yang bermaksud;
Kekuatan negara adalah atas empat perkara: Pertamanya, dengan ilmu para ulama; kedua, dengan keadilan para umarak; ketiga, dengan kemurahan para hartawan, dan; keempat, dengan doa orang fakir.
3. Pemimpin ialah individu atau sekelompok ketua yang memimpin keseluruhan rakyat daripada keadaan yang lemah atau rosak, kepada keadaan yang kuat dan maju, dan dalam konteks Islam, ialah memimpin umat manusia daripada kehancuran dan maksiat, kepada keredaan Allah dan kesejahteraan mereka mengikut lunas-lunas dan nilai universal Islam.
4. Islam menggariskan banyak prinsip bagi kepemimpinan Islam. Antaranya para pemimpin haruslah mempunyai sifat-sifat berikut:
i) Kuat dalam akidah
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu angkat jadi pemimpinmu orang yang membuat agamamu menjadi bahan ejekan dan permainan, iaitu di antara orang yang telah diberikan kitab sebelummu dan orang yang kafir.” (Al-Maidah, ayat 57)
ii) Adil dan jujur
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "Pimpinan ulama-umarak"

Posting Komentar